Thursday, 28 November 2013

Syiah: Asal Usul Syiah dan Perkembangan Syiah di Malaysia



Farahdina Bt Fazial
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam)
No. Matrik : P-SM0105/13

Pengenalan

Mutakhir ini, isu Syiah hangat diperkatakan di media sosial dan arus perdana terutama selepas berlakunya perang saudara diantara Syiah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah di Syria. Hal ini menyebabkan fahaman ini mula dikaji dan dibincangkan secara umum oleh para ulama dan ahli agama. 

Artikel ini akan membincangkan mengenai epistemologi Syiah dan cara penyebarannya kepada umat Islam di Malaysia. Artikel ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu asal usul Syiah , jenis-jenis Syiah dan cara perkembangan fahaman Syiah di Malaysia.

Asal usul perkataan  Syiah
Perkataan Syiah telah disebut beberapa kali di dalam Al-Quran:

19:69



Sesudah itu, sesungguhnya kami akan cabut dari tiap-tiap golongan, mana-mana orang yang sangat derhaka kepada (Allah) Ar-Rahman, di antara mereka (Surah Maryam: 69)

37:83



Dan sesungguhnya di antara orang-orang yang menegakkan (ajaran yang dibawa oleh) Nabi Nuh ialah Nabi Ibrahim ( Surah As-Saffat: 83).

Dari segi bahasa, Syiah bermaksud pengikut atau pengiring. Ia juga dapat ditakrifkan sebagai salah satu daripada dua mazhab terpenting dalam Islam yang menolak tiga khalifah ar-Rasyidin yang awal dan menganggap Saidina Ali RA sebagai pengganti Nabi Muhammad SAW yang sah. (Kamus Dewan, Edisi Keempat).

Asal Usul Syiah dari Pandangan Berbeza
 
Para penulis sejarah Islam telah berbeza pendapat tentang kemunculan awal Syiah. Berdasarkan pendapat umum, Syiah dikaitkan dengan penyokong fanatik Saidina Ali RA. Penyokong Saidina Ali RA berpendapat, Saidina Ali RA lebih layak untuk menggantikan tempat Rasulullah SAW selepas kewafatan Rasulullah SAW kerana Saidina Ali RA adalah ahlul bait (ahli keluarga Nabi) berbanding dengan sahabat Nabi yang lain (Abdullah Din, 2013). Pendapat ini telah dipegang oleh sebahagian besar penganut Syiah. 

Namun, pendapat yang paling masyhur menyatakan bahawa kemunculan pergerakan Abdullah Bin Saba’ (Ibnu Saba’) di penghujung zaman Saidina Uthman RA adalah permulaan kepada gerakan Syiah. Ibnu Saba’ merupakan pengasas Syiah- Al Sabaiyah (Syiah pelampau). Beliau berpura-pura memeluk Islam pada zaman Saidina Uthman Bin Affan RA dengan tujuan untuk mendapat jawatan tertinggi dalam kerajaan tetapi telah ditolak oleh Khalifah Uthman. Beliau menyimpan dendam terhadap Saidina Uthman RA dan telah menjelajah ke seluruh kota untuk menyesatkan umat Islam.

Selain itu, terdapat juga  pendapat yang mengatakan Syiah wujud setelah gagalnya rundingan diantara Saidina Ali RA dan Muawiyah pada Perang Siffin. Kesan daripada peristiwa itu, sebahagian daripada pengikut Saidina Ali RA memberontak terhadap kepimpinannya dan keluar dari pasukan Saidina Ali RA. Mereka yang memberontak digelar Khawarij manakala mereka yang setia digelar Syiah. 

Terdapat juga ahli sejarah menyatakan bahawa permulaan Syiah adalah bermula selepas kesyahidan Saidina Hussien. Saidina Hussien telah keluar menuju ke Iraq dari Kufah, Madinah kerana tidak bersetuju dengan perlantikan Yazid Bin Muawiyah sebagai khalifah. Pada peringkat awal, beliau telah dijemput oleh penduduk Iraq yang berjanji akan membantunya tetapi mereka memungkiri janji pada saat-saat akhir dan itu telah menjadi punca kepada kesyahidan Saidina Hussien di pertempuran Karbala. Peristiwa ini telah menyebabkan sebahagian daripada mereka yang mengajaknya keluar menyesal dan bertekad untuk berperang dengan pemerintah Bani Umayyah. Mereka yang terbunuh dalam pertempuran dengan pemerintah Bani Umayyah digelar Syiah.

Pada peringkat awal, Syiah hanyalah sebuah gerakan bersifat politik namun telah bertukar menjadi gerakan akidah selepas kematian Saidina Hussein. Isu akidah ini mula timbul apabila kelompok Syiah menjadi terlalu taksub kepada Saidina Ali RA dan ahlul bait dan memberi label yang tidak baik kepada sahabat- sahabat Nabi Muhammad S.A.W seperti Saidina Abu Bakar Saidina Umar dan Saidina Uthman.

Pembahagian Jenis- jenis Syiah

Syiah terbahagi kepada berpuluh-puluh kelompok bahkan sebahagian pengkaji menyatakan syiah terbahagi kepada 300 puak (Abdullah Din dan Azfar Abdullah, 2013). Antara kelompok-kelompok Syiah adalah Syiah Imamiyyah Ithna Asyariyyah, Syiah Zaidiyyah, Syiah Islamiyyah, Syiah Kaisaniyyah dan lain--lain. Menurut Dr. Yusuf Al- Qaradawi, Syiah Zaidiyyah merupakan kelompok Syiah yang paling hampir dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana ajaran yang dibawa tidak menyimpang dengan ajaran Islam yang sebenar. 

Mohd Farid Mohd Shahran (2013) menyatakan berdasarkan sejarah Islam, terdapat beberapa kelompok syiah ekstrem antaranya Syiah Al- Saba’iyah, Al-Khattabiyah, Al-Ghurabiyah dan Al-Qaramithah. Kelompok Syiah ekstrem hampir pupus tetapi pandangan mereka masih ada di dalam kitab-kitab ulama seperti Maqalat al- Islamiyyin dan Al-Milal wa Al-Nihal.  

Pada zaman ini, terdapat tiga kelompok Syiah utama iaitu Syiah Ja’fariyyah (Imam 12), Syiah Ismailiyah (Imam 7) dan Syiah Zaidiyah (Imam 5). Syiah Imamiah turut dikenali sebagai Syiah al-Rafidah dan Syiah Ithna Asyariyyah. Abdullah Din dan Azfar Abdullah (2013) menyatakan, Syiah Imamiah merupakan kelompok Syiah yang mempunyai paling ramai pengikut. Kenyataan ini disokong melalui kajian yang dilakukan oleh Pew Research Centre pada tahun 2009, yang membuktikan bahawa 1/3 daripada penganut Syiah adalah daripada kelompok Syiah Imamiah dan mempunyai paling ramai pengikut terutamanya di Iran. Syiah Imamiah terbahagi kepada lima belas kelompok iaitu, Muhammadiah, Baqiriah, Nawuusiah, Syumaitiah, ‘Ammariah, Ismailiah, Mubarakiah, Musawiah, Qat’iah, Isna ‘Asyariah, Hasyimiah, Zurariah, Yunusiah, Syaithaniah dan  Kamiliah.

Syiah Zaidiyyah adalah pengikut kepada Zaid Bin Ali Zainal Abidin bin Husin Bin Ali bin Abi Talib. Ulama mengklasifikasikan Syiah Zaidiyyah dalam golongan mu’tadil (golongan yang masih boleh diajak berbincang). Fahamannya tidak jauh berbeza dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Diantara perbezaan fahaman Syiah Zaidiyyah ialah, mereka hanya mengatakan bahawa Saidina Ali lebih layak memegang jawatan khalifah berbanding dengan para sahabat. Hampir 40 peratus daripada penduduk Yaman adalah daripada  kelompok Syiah Zaidiyyah. Syiah Zaidiyyah terbahagi kepada tiga kelompok iaitu Jurudiah, Jaririah dan Solihiah.

Syiah Ismailiyah (Imam 7) pernah menjadi salah satu kelompok Syiah yang paling berpengaruh diantara mazhab-mazhab Syiah. Dianggarkan terdapat seramai 2 juta orang penganut Syiah Ismailiyah di dunia. Penganut Syiah Ismailiyah berpusat di India dan bertaburan di sekitar Asia Tengah, Iran, Syria dan Timur Afrika.

Perbezaan pendapat dari segi prinsip, ajaran-ajaran serta perbezaan dalam menentukan kedudukan imam adalah punca kepada perpecahan dalam kelompok Syiah. Namun, mereka bersependapat dalam konsep imamah mereka kepada Saidina Ali RA.

Perkembangan Syiah Di Malaysia

Menurut laporan akhbar, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengesan hampir 250,000 pengikut Syiah yang bergerak aktif di Malaysia. Kemenangan revolusi Islam yang diketuai oleh Ayatullah Al- Khomeini di Iran pada tahun 1979 telah menyebabkan fahaman Syiah disebarkan secara meluas di Malaysia. Ayatullah Khomeini menyatakan perjuangan politik yang barasaskan agama adalah perjuangan utamanya (Yusuf Abdullah Puar, 1979). Revolusi yang menjadikan Iran sebagai Republik Islam telah menyebabkan rakyat Malaysia memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Iran tanpa menyedari fahaman akidah yang dibawa bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. 

Berdasarkan pembacaan dan rujukan berkaitan perkembangan Syiah di Malaysia, penulis merumuskan Syiah berkembang melalui beberapa cara. Antaranya;


a)  Terdapat usaha untuk menghantar pelajar-pelajar Malaysia untuk melanjutkan pelajaran ke Iran. Pelajar- pelajar ini telah ditawarkan untuk belajar di sana dengan diberikan biasiswa dan kemudahan asas yang secukupnya. 

b)  Fahaman Syiah disokong oleh golongan tertentu terutamanya ahli politik yang mempunyai kepentingan tertentu. 

c)  Penerangan tentang fahaman Syiah secara tidak langsung melalui lawatan-lawatan yang dilakukan oleh oleh pemimpin-pemimpin Iran ke Malaysia dan lawatan pemimpin Malaysia ke Republik Iran. 

d)   Buku-buku tentang fahaman Syiah telah disebarkan dengan meluas dengan menghadiahkan dan memberikan buku-buku tentang fahaman ini kepada perpustakaan umum, masjid dan kedai-kedai  buku. 

e)   Perkembangan teknologi maklumat seperti laman sosial dan media memudahkan penganut Syiah untuk menyebarkan fahaman mereka dengan lebih cepat dan pantas.


Rumusan

Jika dilihat daripada perkembangan Syiah masakini, umat Islam harus berhati-hati dengan fahaman yang dibawa kerana fahaman ini bercanggah dari ajaran Islam yang sebenar. Selain itu, fahaman Syiah bukan sahaja melibatkan perbezaan dari sudut perkara-perkara furu’ tetapi turut melibatkan perkara yang berkaitan dengan akidah, syariah dan penyelewengan umum yang lain. Perkembangan fahaman ini perlu disekat agar ia tidak menggugat perpaduan ummah, keutuhan agama dan perpaduan bangsa khususnya di Malaysia. 



Bibliografi
                         
Abdullah Bin Din, Azfar Bin Abdullah (2013). Siapa Syiah Sebenarnya. Selangor: One    Touch   Creative

Abdullah Din (2013). Menjawab Putar Belit Syiah. Selangor: One Touch Creative

            Mohd Farid Mohd Shahran (2013, ). Kenali Syiah Imamiyah. Majalah Al-Ustaz, 60-61

Hafiz Zamri (t.t) Sejarah dan Fahaman Syiah. Diakses daripada http://hafizamri.com/sejarah-dan-fahaman-syiah/ pada 24 November 2013

Ibnu Rayid Al Syarkusi (2013). Perpecahan Dalam Fahaman Syiah. Diakses daripada http://kefahaman-selamanya.blogspot.com/2013/04/perpecahan-dalam-fahaman-syiah.html pada 29 November 2013

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (2013) Penjelasan Terhadap Fahaman Syiah. Diakses daripada  http://zaharuddin.net/aqidah-&-kepercayaan/532-syiah--penjelasan-oleh-jakim.html pada 28 November 2013.
           
Jabatan Mufti (t.t). Penyelewengan Syiah. Diakses daripada http://www.muftiwp.gov.my/v1/doc/PENYELEWENGANSYIAH.pdf   pada 26 Oktober 2013

Tiada Pengarang (2012). Bahaya Syiah. Diakses daripada http://bahayasyiah.blogspot.com/ pada 23 Oktober 2013

Tiada Pengarang (2012). Sejarah Kemunculan Syiah. Diakses daripada http://duniasyiah.blogspot.com/2012/09/sejarah-kemunculan-syiah.html pada 24 November 2013

            Utusan Malaysia (2013, 5 Ogos). Pengikut Syiah Kini Cecah 250000 Orang. Utusan Online. Diakses daripada http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130805/dn_19/Pengikut-Syiah-kini-cecah-250000---KDN pada 26 Oktober 2013

Yusuf Abdullah Puar (1979). Perjuangan Ayatullah Khomeini. Jakarta: Pustaka Antara   Jakarta.



No comments:

Post a Comment