Farahdina Bt Fazial
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan (Pengurusan
Pembangunan Islam)
No. Matrik : P-SM0105/13
Pengenalan
Mutakhir
ini, isu Syiah hangat diperkatakan di media sosial dan arus perdana terutama
selepas berlakunya perang saudara diantara Syiah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah di
Syria. Hal ini menyebabkan fahaman ini mula dikaji dan dibincangkan secara umum
oleh para ulama dan ahli agama.
Artikel
ini akan membincangkan mengenai epistemologi Syiah dan cara penyebarannya
kepada umat Islam di Malaysia. Artikel ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu
asal usul Syiah , jenis-jenis Syiah dan cara perkembangan fahaman Syiah di
Malaysia.
Asal
usul perkataan Syiah
Perkataan Syiah telah disebut
beberapa kali di dalam Al-Quran:
Sesudah itu, sesungguhnya kami akan cabut dari tiap-tiap golongan, mana-mana orang yang sangat derhaka kepada (Allah) Ar-Rahman, di antara mereka (Surah Maryam: 69)
Dan sesungguhnya di antara orang-orang yang menegakkan (ajaran yang dibawa oleh) Nabi Nuh ialah Nabi Ibrahim ( Surah As-Saffat: 83).
Dari segi bahasa, Syiah bermaksud pengikut atau pengiring. Ia juga dapat ditakrifkan
sebagai salah satu daripada dua mazhab terpenting dalam Islam yang menolak tiga
khalifah ar-Rasyidin yang awal dan
menganggap Saidina Ali RA sebagai pengganti Nabi Muhammad SAW yang sah. (Kamus
Dewan, Edisi Keempat).
Asal
Usul Syiah dari Pandangan Berbeza
Para penulis sejarah Islam telah
berbeza pendapat tentang kemunculan awal Syiah. Berdasarkan pendapat umum,
Syiah dikaitkan dengan penyokong fanatik Saidina Ali RA. Penyokong Saidina Ali RA
berpendapat, Saidina Ali RA lebih layak untuk menggantikan tempat Rasulullah
SAW selepas kewafatan Rasulullah SAW kerana Saidina Ali RA adalah ahlul bait (ahli keluarga Nabi)
berbanding dengan sahabat Nabi yang lain (Abdullah Din, 2013). Pendapat ini
telah dipegang oleh sebahagian besar penganut Syiah.
Namun,
pendapat yang paling masyhur menyatakan bahawa kemunculan pergerakan Abdullah
Bin Saba’ (Ibnu Saba’) di penghujung zaman Saidina Uthman RA adalah permulaan
kepada gerakan Syiah. Ibnu Saba’ merupakan pengasas Syiah- Al Sabaiyah (Syiah
pelampau). Beliau berpura-pura memeluk Islam pada zaman Saidina Uthman Bin
Affan RA dengan tujuan untuk mendapat jawatan tertinggi dalam kerajaan tetapi
telah ditolak oleh Khalifah Uthman. Beliau menyimpan dendam terhadap Saidina
Uthman RA dan telah menjelajah ke seluruh kota untuk menyesatkan umat Islam.
Selain
itu, terdapat juga pendapat yang mengatakan
Syiah wujud setelah gagalnya rundingan diantara Saidina Ali RA dan Muawiyah pada Perang
Siffin. Kesan daripada peristiwa itu, sebahagian daripada pengikut Saidina Ali RA
memberontak terhadap kepimpinannya dan keluar dari pasukan Saidina Ali RA. Mereka
yang memberontak digelar Khawarij manakala mereka yang setia digelar Syiah.
Terdapat juga ahli sejarah menyatakan
bahawa permulaan Syiah adalah bermula selepas kesyahidan Saidina Hussien. Saidina
Hussien telah keluar menuju ke Iraq dari Kufah, Madinah kerana tidak bersetuju
dengan perlantikan Yazid Bin Muawiyah sebagai khalifah. Pada peringkat awal,
beliau telah dijemput oleh penduduk Iraq yang berjanji akan membantunya tetapi
mereka memungkiri janji pada saat-saat akhir dan itu telah menjadi punca kepada
kesyahidan Saidina Hussien di pertempuran Karbala. Peristiwa ini telah menyebabkan sebahagian daripada mereka yang mengajaknya keluar
menyesal dan bertekad untuk berperang dengan pemerintah Bani Umayyah. Mereka
yang terbunuh dalam pertempuran dengan pemerintah Bani Umayyah digelar Syiah.
Pada peringkat awal, Syiah hanyalah sebuah gerakan bersifat politik namun telah bertukar menjadi gerakan akidah selepas kematian Saidina Hussein. Isu akidah ini mula timbul apabila kelompok Syiah menjadi terlalu taksub kepada Saidina Ali RA dan ahlul bait dan memberi label yang tidak baik kepada sahabat- sahabat Nabi Muhammad S.A.W seperti Saidina Abu Bakar Saidina Umar dan Saidina Uthman.
Pembahagian Jenis- jenis Syiah
Syiah terbahagi kepada
berpuluh-puluh kelompok bahkan sebahagian pengkaji menyatakan syiah terbahagi
kepada 300 puak (Abdullah Din dan Azfar Abdullah, 2013). Antara
kelompok-kelompok Syiah adalah Syiah Imamiyyah Ithna Asyariyyah, Syiah
Zaidiyyah, Syiah Islamiyyah, Syiah Kaisaniyyah dan lain--lain. Menurut Dr. Yusuf
Al- Qaradawi, Syiah Zaidiyyah merupakan kelompok Syiah yang paling hampir
dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana ajaran yang dibawa tidak menyimpang
dengan ajaran Islam yang sebenar.
Mohd Farid Mohd Shahran (2013)
menyatakan berdasarkan sejarah Islam, terdapat beberapa kelompok syiah ekstrem
antaranya Syiah Al- Saba’iyah, Al-Khattabiyah, Al-Ghurabiyah dan Al-Qaramithah.
Kelompok Syiah ekstrem hampir pupus tetapi pandangan mereka masih ada di dalam
kitab-kitab ulama seperti Maqalat al-
Islamiyyin dan Al-Milal wa Al-Nihal.
Pada zaman ini, terdapat tiga
kelompok Syiah utama iaitu Syiah Ja’fariyyah (Imam 12), Syiah Ismailiyah (Imam
7) dan Syiah Zaidiyah (Imam 5). Syiah Imamiah turut dikenali sebagai Syiah
al-Rafidah dan Syiah Ithna Asyariyyah. Abdullah Din dan Azfar Abdullah (2013)
menyatakan, Syiah Imamiah merupakan kelompok Syiah yang mempunyai paling ramai
pengikut. Kenyataan ini disokong melalui kajian yang dilakukan oleh Pew
Research Centre pada tahun 2009, yang membuktikan bahawa 1/3 daripada penganut
Syiah adalah daripada kelompok Syiah Imamiah dan mempunyai paling ramai
pengikut terutamanya di Iran. Syiah Imamiah terbahagi kepada lima belas
kelompok iaitu, Muhammadiah, Baqiriah, Nawuusiah, Syumaitiah, ‘Ammariah,
Ismailiah, Mubarakiah, Musawiah, Qat’iah, Isna ‘Asyariah, Hasyimiah, Zurariah,
Yunusiah, Syaithaniah dan Kamiliah.
Syiah Zaidiyyah adalah pengikut
kepada Zaid Bin Ali Zainal Abidin bin Husin Bin Ali bin Abi Talib. Ulama
mengklasifikasikan Syiah Zaidiyyah dalam golongan mu’tadil (golongan yang masih boleh diajak berbincang). Fahamannya tidak jauh
berbeza dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Diantara perbezaan fahaman Syiah
Zaidiyyah ialah, mereka hanya mengatakan bahawa Saidina Ali lebih layak
memegang jawatan khalifah berbanding dengan para sahabat. Hampir 40 peratus
daripada penduduk Yaman adalah daripada
kelompok Syiah Zaidiyyah. Syiah Zaidiyyah terbahagi kepada tiga kelompok
iaitu Jurudiah, Jaririah dan Solihiah.
Syiah Ismailiyah (Imam 7) pernah
menjadi salah satu kelompok Syiah yang paling berpengaruh diantara mazhab-mazhab
Syiah. Dianggarkan terdapat seramai 2 juta orang penganut Syiah Ismailiyah di
dunia. Penganut Syiah Ismailiyah berpusat di India dan bertaburan di sekitar
Asia Tengah, Iran, Syria dan Timur Afrika.
Perbezaan pendapat dari segi
prinsip, ajaran-ajaran serta perbezaan dalam menentukan kedudukan imam adalah
punca kepada perpecahan dalam kelompok Syiah. Namun, mereka bersependapat dalam
konsep imamah mereka kepada Saidina Ali RA.
Perkembangan
Syiah Di Malaysia
Menurut laporan akhbar, Kementerian
Dalam Negeri (KDN) telah mengesan hampir 250,000 pengikut Syiah yang bergerak
aktif di Malaysia. Kemenangan revolusi Islam yang diketuai oleh Ayatullah Al-
Khomeini di Iran pada tahun 1979 telah menyebabkan fahaman Syiah disebarkan
secara meluas di Malaysia. Ayatullah Khomeini menyatakan perjuangan politik
yang barasaskan agama adalah perjuangan utamanya (Yusuf Abdullah Puar, 1979).
Revolusi yang menjadikan Iran sebagai Republik Islam telah menyebabkan rakyat
Malaysia memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Iran tanpa menyedari fahaman akidah
yang dibawa bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Berdasarkan pembacaan dan
rujukan berkaitan perkembangan Syiah di Malaysia, penulis merumuskan Syiah
berkembang melalui beberapa cara. Antaranya;
a) Terdapat usaha untuk menghantar pelajar-pelajar Malaysia untuk
melanjutkan pelajaran ke Iran. Pelajar- pelajar ini telah ditawarkan untuk
belajar di sana dengan diberikan biasiswa dan kemudahan asas yang secukupnya.
b) Fahaman Syiah disokong oleh golongan tertentu terutamanya ahli
politik yang mempunyai kepentingan tertentu.
c) Penerangan tentang fahaman Syiah secara tidak langsung melalui
lawatan-lawatan yang dilakukan oleh oleh pemimpin-pemimpin Iran ke Malaysia dan
lawatan pemimpin Malaysia ke Republik Iran.
d) Buku-buku tentang fahaman Syiah telah disebarkan dengan meluas
dengan menghadiahkan dan memberikan buku-buku tentang fahaman ini kepada
perpustakaan umum, masjid dan kedai-kedai
buku.
e) Perkembangan teknologi maklumat seperti laman sosial dan media
memudahkan penganut Syiah untuk menyebarkan fahaman mereka dengan lebih cepat
dan pantas.
Rumusan
Jika dilihat daripada
perkembangan Syiah masakini, umat Islam harus berhati-hati dengan fahaman yang
dibawa kerana fahaman ini bercanggah dari ajaran Islam yang sebenar. Selain
itu, fahaman Syiah bukan sahaja melibatkan perbezaan dari sudut perkara-perkara
furu’ tetapi turut melibatkan perkara
yang berkaitan dengan akidah, syariah dan penyelewengan umum yang lain.
Perkembangan fahaman ini perlu disekat agar ia tidak menggugat perpaduan ummah,
keutuhan agama dan perpaduan bangsa khususnya di Malaysia.
Bibliografi
Abdullah Bin Din, Azfar Bin Abdullah (2013). Siapa Syiah Sebenarnya. Selangor: One Touch Creative
Abdullah Din (2013). Menjawab
Putar Belit Syiah. Selangor: One Touch Creative
Mohd
Farid Mohd Shahran (2013, ). Kenali Syiah Imamiyah. Majalah Al-Ustaz, 60-61
Hafiz
Zamri (t.t) Sejarah dan Fahaman Syiah.
Diakses daripada http://hafizamri.com/sejarah-dan-fahaman-syiah/
pada 24 November 2013
Ibnu
Rayid Al Syarkusi (2013). Perpecahan
Dalam Fahaman Syiah. Diakses daripada http://kefahaman-selamanya.blogspot.com/2013/04/perpecahan-dalam-fahaman-syiah.html
pada 29 November 2013
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (2013) Penjelasan Terhadap Fahaman
Syiah. Diakses daripada http://zaharuddin.net/aqidah-&-kepercayaan/532-syiah--penjelasan-oleh-jakim.html
pada 28 November 2013.
Jabatan
Mufti (t.t). Penyelewengan Syiah.
Diakses daripada http://www.muftiwp.gov.my/v1/doc/PENYELEWENGANSYIAH.pdf pada 26 Oktober 2013
Tiada Pengarang (2012). Bahaya
Syiah. Diakses daripada http://bahayasyiah.blogspot.com/ pada 23 Oktober 2013
Tiada Pengarang (2012). Sejarah
Kemunculan Syiah. Diakses daripada http://duniasyiah.blogspot.com/2012/09/sejarah-kemunculan-syiah.html
pada 24 November 2013
Utusan Malaysia (2013, 5 Ogos). Pengikut
Syiah Kini Cecah 250000 Orang. Utusan
Online. Diakses daripada http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130805/dn_19/Pengikut-Syiah-kini-cecah-250000---KDN
pada 26 Oktober 2013
Yusuf Abdullah Puar (1979). Perjuangan
Ayatullah Khomeini. Jakarta: Pustaka Antara Jakarta.